Monday, August 19, 2013

Pulanglah hati pada Nya

Telefon bimbit bergegar.

Gegaran itu juga memberitahu Safiyyah ada pesanan masuk ke dalam peti pesanan telefon bimbitnya. 

Hakim, insan itulah yang dikagumi Safiyyah. Mungkin tak sesempurna mana. Tapi Safiyyah meletakkan sinar harapan yang tinggi padanya. Pedulikan orang kata, tertutup semua masa silam Hakim. Pada Safiyyah semua manusia mampu berubah, sama ada mahu atau tidak sahaja. Dari itu dia meletakkan kepercayaan yang tinggi mungkin sahaja menggunung pada insan bernama Hakim. Insan itu juga yang diharap mampu memimpinnya ke Syurga yang kekal suatu hari nanti. Saban hari dia berdoa moga impiannya menjadi kenyataan.

Namun hari ini, bagaikan semuanya punah.

Mungkin sampai di sini sahajalah hubungan kita. Maaf.

Safiyyah hampir tak percaya dengan apa yang dibaca saat itu. Berulang kali dia menatap telefon bimbitnya. Hampir sekali mengeja setiap patah huruf. Namun itu ternyata, REALITI.

Hakim bertindak begitu setelah Safiyyah menasihati sesuatu tentang hubungan mereka.

Safiyyah hanya mampu membalas:

Okay. Terima kasih dan minta maaf atas segalanya.

Saat itu, semua janji telah terpadam. Segala impian telah terkubur.

Safiyyah tidak tahu apa rasa hatinya saat ini. Sedih atau gembira?

Sedih kerana itu impiannya sekian lama. Lagi Hakim orang pertama yang dia percaya. Belum pernah lagi dia mempercayai mana-mana lelaki. Namun dia tahu itu semua dari Allah. Dia tahu pada siapa dia harus berpegang sekarang. 

Gembira. Mungkin sebab ini yang dia mahu. Sebab pada dia hati tak terjaga dalam hubungan ini. Mungkin dah cukup terseksa Safiyyah menipu diri sendiri, dia tak selesa dalam hubungan itu. Terasa berdosa dan bersalah, namun tiada siapa yang muncul menegur dirinya. Cukuplah. Dia tak mahu ramai lagi syaitan mentertawakan dirinya. 

Pasrah dan redha.

Safiyyah cuba bersangka baik pada semua di sekelilingnya.

Sangkaan Safiyyah, 'mungkin Hakim buat keputusan ini kerana dia telah berfikir panjang. Dia ingin dekat dengan Allah dan mungkin aku menjadi penghalang untuk dia lebih dekat pada Penciptanya.' Bicara hati Safiyyah.

Safiyyah redha kerana dia pernah berjanji kepada dirinya, ‘walaupun terpaksa berpisah aku rela asalkan aku tak bawa dia ke neraka. Itu bukti sayang kerana Allah.’ Itu pendiriannya.

------

Hari-hari berlalu Safiyyah sentiasa tersenyum dan gembira menikmati segala nikmat Tuhannya yang tidak terhingga banyaknya.

Pedih, luluh dan perit hatinya disimpan kemas dalam hati. Tak sekali dia menzahirkan. 

Sesekali jiwanya lemah, dia kembali mengadu pada Yang Esa. Itu lebih menenangkan. 
Namun sebagai manusia dia perlukan seseorang untuk melepaskan lelah. Safiyyah bijak memilih. Dia hanya menceritakan kepada tiga orang teman yang dia rasa mampu menguatkannya saat itu. 

Dia memilih untuk berdiam agar tiada hati yang disakiti, tiada ukhuwah yang terpincang.

------

Hampir sebulan berlalu. Namun belum pun cukup sebulan pada perkiraan Safiyyah.

Dia mendapat tahu tentang Hakim.

Pedih. Umpama luka yang hampir sembuh tapi ditoreh kembali pada tempat yang sama. Itu yang Safiyyah rasa. Mungkin hatinya belum cukup redha.

Dia tahu bukan dari orang lain, dia tahu sendiri. Entah kenapa itu yang Allah nak tunjukkan padanya. 

Pasrah dan redha.

Dia milik yang lain.

Hampir hilang arah tuju. Safiyyah memegang Kitab Suci. Dibaca dibelek satu per satu ayat-ayatNya. Tenang. Terasa bagai dipujuk dan dibelai oleh Sang Penyayang. 

Pada Ummi, satu-satunya ibu yang dia sayang, dia bercerita dengan linangan air mata.

Kata-kata semangat dari seorang ibu tak pernah jemu Safiyyah dengar dan hadamkan. 

“Ambil pengajaran dari apa yang berlaku. Terus kuatkan diri membina jiwa lebih dekat pada Allah. Ingat janji Allah, wanita yang baik untuk lelaki yang baik.” Ringkas pesanan ummi, tapi sangat meruntun jiwa Safiyyah.

“Terima kasih Ummi.” Getus hati Safiyyah. 

Kasih sayang murni seorang ummi terasa mengalir di setiap salur darahnya.

------

Perbualan Safiyyah bersama teman-temannya. Kini mereka semua sudah tahu akan apa yang terjadi, tapi mereka tahu bukan dari Safiyyah. 

Teman : “Kenapa dia buat pada kau begini Saf?”

Safiyyah : “I have no idea.”

Teman : “Sebab kena tunggu lama atau sebab dia rasa dia tak layak untuk kau? Mungkin dia rasa diri dia tak cukup baik untuk kau.”

Safiyyah : "Heh."

Hanya gelak nada sinis itu sahaja yang Safiyyah mampu luahkan. Dalam hatinya seratus peratus menafikan perkara itu. Tunggu lama? Tempoh masa itu bisa sahaja menjadi singkat. Tapi perlukan usaha dan kesungguhan yang tinggi. Dan Safiyyah menegaskan dalam dirinya, ‘aku bukan insan yang paling baik di dunia ini dan hina rasa diri ini untuk ‘demand’ lelaki yang terbaik. Aku cuma manusia yang berusaha menjadi yang lebih baik dari aku yang sebelum ini.’

Teman : "Kau nak suruh aku tolong apa-apa Saf?"

Safiyyah : "Tak. Tak perlu. Dia dah besar dan padai fikir mana yang terbaik untuk dirinya dan akhiratnya."

Bulat tekad Safiyyah.

Teman : "You deserve a better person Saf. Put your trust in Allah. Kau patut bersyukur Allah sedarkan kau dari awal."

Ayat itu paling menyentap hati Safiyyah. Dari teman-teman yang dia sayang.

-------

Safiyyah tekad. Tekad melupakan segalanya. 

Dia tahu ini semua dari Allah. Dia yang beri untuk menegur hambaNya yang mungkin telah terpesona dengan fatamorgana dunia dan terlalai dari mengingatinya.

Safiyyah Berusaha menjadi yang lebih baik dan lebih dekat dengan Tuhannya. Tanpa mengharap apa-apa balasan selain redha Allah.

Dia yakin dengan semua janji Allah yang termaktub dalam Kitab Suci itu. Sungguh menenangkan.

Safiyyah mendoakan agar Hakim bahagia dan sentiasa berada dalam redha Allah.

Tanpa ada rasa dendam Safiyyah melepaskan segalanya di Tangan penentu takdir. Dendam hanya lebih menyakitkan jiwa yang teruka.

Jangan tergoda dengan indahnya dunia,
Kelak di Akhirat jiwa kita yang merana.

Safiyyah menamatkan kisahnya dengan;

Aku kini bahagia dengan cara aku.

Hatinya kini telah kembali pada yang menciptakan hatinya dan yang berhak memiliki.


TAMAT.


P/s: Kisah di atas hanya rekaan semata-mata, tiada kena mengena antara yang hidup atau pun yang telah pergi mengadap Ilahi.

Wallahu'alam.

2 comments:

Nur Syahirah said...

okay, seperti kisah sendiri. haha

humairamahpa said...

*tiada kena mengena antara hidup & mati. kalau ada yang sama tu kebetulan ye. ;p

eh? kisah syira ke camne? haha